Wednesday 19 March 2014

Raspberry

Salam semua,

Sudah berbulan lamanya saya tidak mengemas kini blog ini. Dikesempatan ini saya memohon maaf sekiranya ada yang menunggu post dari saya mengenai penanaman. Post kali ini berkisar dengan buah temperate atau buah yang biasanya tumbuh di negara beriklim sejuk iaitu raspberry.

Raspberry di Cameron Highland
Raspberry adalah tumbuhan saka berkayu yang tergolong dari keluarga ros (atau Rubus). Raspberry adalah merujuk kepada tumbuhan itu sendiri atau buah yang dihasilkan. Terdapat pelbagai jenis tetapi secara asasnya terbahagi kepada dua iaitu liar atau kultivar (kacukan untuk memenuhi ciri-ciri tertentu).

Jenis liar biasanya seperti red raspberry, wine berry, black raspberry, blackberry dan salmon berry. Manakala jenis kultivar terlalu banyak dan antaranya adalah red raspberry, yellow/orange raspberry, purple raspberry, black raspberry dan blue raspberry.

Raspberry kultivar: mengikut arah putaran jam dari kiri atas; yellow raspberry, blue raspberry, red raspberry, black raspberry dan purple raspberry.
 Tumbuhan ini memerlukan tanah dengan saliran yang baik kerana lembapan yang berlebihan akan menyebabkan serangan kulat terhadap akar. Tanah dengan pH 6-7 adalah sangat sesuai. Bagaimanapun, tumbuhan ini sesuai juga ditanam di negara beriklim tropika. Ini kerana ia memerlukan sumber cahaya matahari yang cukup untuk pembesaran.

Raspberry liar: Mengikut arah putaran jam; wild black raspberry, wild red raspberry, blacberry dan wine berry. Gambar ditengah ialah salmon berry.
Seeloknya dibaja sebulan sekali dengan baja organik (baja kimia mungkin menyebabkan pokok melecur) dan disiram hanya apabila perlu, dalam jangkamasa setiap 4 hari sekali. Tanah hanya perlu sekadar lembap dan tidak terlalu basah. Buat masa ini, penanaman raspberry di tanah rendah sedang diuji dan mengambil masa yang agak lama untuk dianalisis keperluannya.

Ciri - ciri pokok raspberry ialah ianya berbatang bulat (cylinder) dan berduri serta sedikit berlilin. Setiap tangkai daun berduri dan mempunyai 3-5 helai daun yang mana di bawah tulang daun juga berduri. Pokok ini mampu tumbuh sehingga 5 kaki dan jika dipandang seakan-akan pokok bunga ros (kecuali daunnya yang berbeza).

Raspberry yang terdapat di Cameron Highland
Buah apabila dipetik (yang ranum) akan meninggalkan tangkai dipokok dan akan membentuk lubang yang boleh menampakkan biji benih. Buah raspberry biasanya terdapat bulu-bulu halus dan menghasilkan sedikit aroma. Rasanya adalah masam.

Raspberry biasanya dijadikan dessert atau pencuci mulut. Ia biasanya dijual segar, kering, puri atau sejuk beku. Selain itu, terdapat juga produk dari raspberry seperti jem, teh herba, sos, ais krim dan wangian.