Friday 28 September 2012

Basil / Ocimum basilicum


Salam sejahtera...hari ini saya akan berkongsi maklumat mengenai basil ataupun yang biasa dikenali dengan nama selasih.

Nama saintifik bagi herba ini ialah Ocimum basilicum, biasa dikenali dengan basil atau sweet basil. Ada juga yang memanggil pokok ini sebagai tulasi. Perkataan basil berasal dari perkataan Greek (basileus) yang bermaksud raja. Maka sehingga kini masih terdapat pengarang buku masakan yang menggelarkan basil sebagai King of Herbs.

sweet basil - Google
Jika dilihat pada penggunaan di barat, ramai yang menganggap basil berasal dari negara empat musim tetapi tahukah anda bahawa basil berasal dari India. Basil biasanya mudah didapati di negara Asia termasuk Asia Tenggara dan ditanam sejak 5000 tahun yang lalu.

Jenis yang biasa digunakan ialah holy/hairy basil, sweet basil (masakan barat), thai basil (masakan thai dan melayu dan dikenali sebagai selasih), lemon basil (ulam di Indonesia, dikenali sebagai kemangi) dan variati hibrid seperti cinnamon basil dan purple basil. Nama bagi basil biasanya diberi mengikut bau, warna, rasa atau saiz daun. Sebagai contoh lettuce basil (lettuce; sejenis salad) dinamakan sebegitu kerana saiz daun yang besar dan biasanya digunakan sebagai salad.

lemon basil dan thai basil (belakang)
Basil mudah ditanam di negara tropika seperti Malaysia. Ia boleh ditanam dalam sebarang jenis tanah yang mempunyai saliran yang baik dan memerlukan cahaya sehingga 8 jam. Walaubagaimanapun, di negara kita basil seeloknya ditanam dibawah teduhan untuk melambatkan pembungaan. Basil biasanya ditanam melalui semaian biji benih yang mengambil masa 1-5 hari untuk bercambah.

Jika menanam herba, satu perkara wajib ialah menuai. Basil hendaklah selalu dituai agar pokok tumbuh merimbun. Pokok yang telah berbunga akan menghasilkan daun yang kecil dengan rasa yang sangat kuat serta berserat. Pokok perlu disiram pagi dan petang supaya lambat berbunga dan perlu dibaja dengan baja organik setiap 2 minggu.

cinnamon basil mempunyai bau seperti kulit kayu manis
Di Itali, basil digunakan sebagai sos pasta yang dikenali sebagai pesto (bahan lain termasuk minyak zaitun, keju parmesan, bawang putih, lada hitam dan pignoli nut) dan sos tomato atau pasta. Di negara Asia Tenggara biasanya dimasak bersama ayam (stir fried basil chicken di Thailand), dijadikan ulam (nasi ayam penyet di Indonesia) dan dijadikan minuman yang popular (sirap selasih).

Saya sendiri menanam 5 jenis basil iaitu sweet, thai, lemon, purple dan cinnamon. Benih biasanya diimport atau dihasilkan dengan membiarkan pokok berbunga. Daunnya dipetik sebagai perencah laksa Johor ataupun bahan sampingan sos tomato.

lettuce basil mempunyai daun yang lebih besar - Google
Lebihan basil boleh dikeringkan atau dibekukan. Caranya seperti mengeringkan herba lain dan jika mahu dibekukan basil perlu dicelur (blanch) terlebih dahulu. Ia juga boleh dijadikan flavor oil atau vinegar.

basil infused oil - Google

1 comment:

  1. maaf tumpang tanya... sy budak baru belajar.

    1. bagaimana cara yg betul utk menuai basil? adakah memetik daun shj atau memotong batang?
    2. penjual pokok di nurseri beritahu sy semua pokok di nurseri menggunakan hormon utk menggalakkan pertumbuhan. adakah hormon termasuk dlm kategori baja organik? dan adakah baja tahi ayam tu satu bentuk baja organik?

    ReplyDelete