Wednesday 19 March 2014

Raspberry

Salam semua,

Sudah berbulan lamanya saya tidak mengemas kini blog ini. Dikesempatan ini saya memohon maaf sekiranya ada yang menunggu post dari saya mengenai penanaman. Post kali ini berkisar dengan buah temperate atau buah yang biasanya tumbuh di negara beriklim sejuk iaitu raspberry.

Raspberry di Cameron Highland
Raspberry adalah tumbuhan saka berkayu yang tergolong dari keluarga ros (atau Rubus). Raspberry adalah merujuk kepada tumbuhan itu sendiri atau buah yang dihasilkan. Terdapat pelbagai jenis tetapi secara asasnya terbahagi kepada dua iaitu liar atau kultivar (kacukan untuk memenuhi ciri-ciri tertentu).

Jenis liar biasanya seperti red raspberry, wine berry, black raspberry, blackberry dan salmon berry. Manakala jenis kultivar terlalu banyak dan antaranya adalah red raspberry, yellow/orange raspberry, purple raspberry, black raspberry dan blue raspberry.

Raspberry kultivar: mengikut arah putaran jam dari kiri atas; yellow raspberry, blue raspberry, red raspberry, black raspberry dan purple raspberry.
 Tumbuhan ini memerlukan tanah dengan saliran yang baik kerana lembapan yang berlebihan akan menyebabkan serangan kulat terhadap akar. Tanah dengan pH 6-7 adalah sangat sesuai. Bagaimanapun, tumbuhan ini sesuai juga ditanam di negara beriklim tropika. Ini kerana ia memerlukan sumber cahaya matahari yang cukup untuk pembesaran.

Raspberry liar: Mengikut arah putaran jam; wild black raspberry, wild red raspberry, blacberry dan wine berry. Gambar ditengah ialah salmon berry.
Seeloknya dibaja sebulan sekali dengan baja organik (baja kimia mungkin menyebabkan pokok melecur) dan disiram hanya apabila perlu, dalam jangkamasa setiap 4 hari sekali. Tanah hanya perlu sekadar lembap dan tidak terlalu basah. Buat masa ini, penanaman raspberry di tanah rendah sedang diuji dan mengambil masa yang agak lama untuk dianalisis keperluannya.

Ciri - ciri pokok raspberry ialah ianya berbatang bulat (cylinder) dan berduri serta sedikit berlilin. Setiap tangkai daun berduri dan mempunyai 3-5 helai daun yang mana di bawah tulang daun juga berduri. Pokok ini mampu tumbuh sehingga 5 kaki dan jika dipandang seakan-akan pokok bunga ros (kecuali daunnya yang berbeza).

Raspberry yang terdapat di Cameron Highland
Buah apabila dipetik (yang ranum) akan meninggalkan tangkai dipokok dan akan membentuk lubang yang boleh menampakkan biji benih. Buah raspberry biasanya terdapat bulu-bulu halus dan menghasilkan sedikit aroma. Rasanya adalah masam.

Raspberry biasanya dijadikan dessert atau pencuci mulut. Ia biasanya dijual segar, kering, puri atau sejuk beku. Selain itu, terdapat juga produk dari raspberry seperti jem, teh herba, sos, ais krim dan wangian.

Monday 19 August 2013

Selamat Hari Raya Aidilfitri...masih belum terlambat.


Salam buat pelawat blog.

Masih belum terlewat untuk mengucapkan Salam Aidilfitri buat anda semua. Diketika ini saya banyak menghabiskan masa mencari tumbuhan rhizom seperti kunyit, temu, cekur dan pelbagai lagi. Post kali ini saya hanya ingin memperkenalkan keluarga baru spesis rhizom, bunga-bungaan dan spesis summer squash.

Buat masa ini, tiada niat untuk menjual koleksi rhizom, sekadar koleksi peribadi. Maklumlah, sebahagian herba tersebut sukar diperoleh. Sebagai contoh tepus kesing atau tuhau, hanya diperolehi di sesuatu tempat dan di musim tertentu. Biasanya dijual pada bulan Ramadhan sebagai ramuan asas nasi ulam (di negeri-negeri utara). Tepus kesing atau tuhau (dalam bahasa Kadazandusun) biasa digunakan bagi masyarakat luar bandar.

Seperkara lagi, ketika saya membuat sedikit pembacaan mengenai herba Serai Acheh, ada yang mengatakan bahawa bunganya cantik seperti bunga orkid. Kebetulan tergerak hati untuk mengalih bekas serai tersebut dan mungkin rezeki saya untuk melihat sendiri bunga Serai Acheh. Memang menakjubkan. Terimalah gambar berikut untuk tatapan anda.

Buat yang pertama kali berkunjung ke blog ini, mohon anda follow blog ini supaya kita dapat berkongsi cerita, pengalaman dan koleksi. Bagi yang biasa berkunjung dan belum menjadi follower, anda juga dialu-alukan. Bagi photographer atau yang meminati bidang photography juga dialu-alukan untuk menjadi follower dan meninggalkan komen bagi gambar-gambar berikut. Sekian.

Cekur batik
                             
Bunga cekur batik
                                       
Cekur hitam

Bunga cekur hitam

Bunga putik delima

Pokok patty pan squash


Bunga serai Acheh

Tepus kesing atau dikenali sebagai tuhau

Wednesday 31 July 2013

Hasil yang menjadi khazanah

Salam...lama sungguh tak update blog ni, busy punya pasal. Sempat snap beberapa gambar untuk tatapan umum. In sha Allah, akan saya update blog ni lepas aidilfitri nanti.

Anggur dan jiran baru si markisa.

Betik yang baru dapat snap gambar...sebelum ni dah berbuah banyak kali.

Bunga terung putih bulat, buah belum menjadi lagi.

Mulberry.
Bunga kesidang.


Hybrid Dendrobium.

Delima yang pertama kali berbuah.
Eria spp.


Cili purple, bercampur dengan cili padi biasa.

Terung telunjuk sulung.

Cili yang tak diketahui namanya. Rasanya tak pedas langsung.

Limau kasturi batik katanya...

Yellow cherry chili.
Variegated thyme.



Thursday 28 February 2013

Anggur berbuah sulung

Salam buat pembaca,

Cuti telah sampai ke penghujung, maka selepas ini bermulalah hidup dalam suasana baru. Sepanjang cuti tidak banyak hasil yang diperolehi dari "hobi terhebat" ini. Sekadar banyak melakukan eksperimen dan menjalankan tugas-tugas khas. Hinggakan nak update blog juga tiada masa. Pada saya inilah masa berkualiti yang dapat saya luangkan bersama keluarga

Alhamdulillah bulan ini meningkat lagi usia. Tidaklah saya kisahkan tiada ucapan atau hadiah pemberian dari keluarga atau kawan-kawan, tetapi ada beberapa kejutan yang membuatkan saya merasa hadiah ulang tahun kelahiran paling bermakna.

Masih saya ingat sebelum cuti bermula, saya telah cantaskan kesemua daun dan sebahagian ranting dari pokok anggur lalu ditaburkan baja penggalak bunga. Seminggu dua kemudian tatkala dibelek pokok tersebut masih tiada tanda-tanda ia akan berbunga,apatah lagi berbuah. Dan akhirnya pada pertengahan Februari saya TERnampak 3 gugus putik anggur ketika membelek pokok markisa kuning (diletakkan di satu tempat yang sama).

Pada kiraan saya anggur tersebut mungkin telah wujud semenjak awal Februari lagi. Akhirnya dapat juga saya membidas kata-kata orang yang cuba mencabar saya diawal penanaman pokok anggur tersebut...

Anggur berbuah sulung
 


Saturday 29 December 2012

Cuti cuti Malaysia


Dari KL ke negeri Pahang,
Singgah sebentar di bandar Temerloh,
Esok ke Pekan,lusa ke Kuantan,
Tiba masanya pulang ke rumah.


Hahaha..cubaan berpantun hari ni. Ayat terakhir pantun bukanlah bermaksud rumah saya di Kuantan tetapi ia adalah destinasi terakhir sebelum pulang ke rumah dan menghabiskan jam jam terakhir dalam tahun 2012. Dalam minggu ini saja kebanyakan masa saya dihabiskan di atas jalan (travel sahaja). Apa yang menarik penghujung 2012 ini, pengalaman bertandang ke negeri Pahang.

Daerah - daerah di negeri Pahang - Gambar hiasan
Jika selalunya ke negeri Pahang destinasi wajib ialah Cameron Highland, tetapi kini ke Temerloh, Pekan dan Kuantan. Apa pun,bukan pengalaman menjengah ke daerah tersebut ingin saya ceritakan tetapi sekadar perkongsian pengalaman mengenai tumbuhan yang dapat dilihat sepanjang perjalanan dan perhentian. Sebagai contoh di Temerloh, di kiri kanan jalan terdapat banyak pokok beka/bonglai kayu yang berbuah. Pada pendapat saya,penduduk di sini mungkin tidak makan buah tersebut. Tetapi sebaliknya di kampung saya,ianya sangat bernilai sehingga dijual antara RM10-15 sekeping.

Buah beka/bonglai kayu - Sumbangan Mr Google
Sempat juga berhenti di sebuah rumah milik keluarga rombongan, yang mana sangat menarik minat saya. Sebuah rumah kampung dengan halaman yg dipenuhi pokok buah, sayur dan bunga hiasan. Agak menyesal kerana saya tak snap gambar untuk dikongsi bersama. Beberapa perkara yg saya temui dan pelajari ialah buah longan vietnam sebesar penumbuk (belum pernah lihat dan menurut cerita perlu menggunakan tukul untuk pecahkan buah), buah mesta iaitu spesis manggis yg lebih manis dan berbuah lonjong (biasa ditemui di pantai timur) dan anggur isabella yang berbuah.

Buah mesta (kanan) - Gambar dari Syayassir.wordpress.com
Kewujudan anggur isabella ini sangat menarik perhatian saya kerana pokok tersebut ada beberapa tangkai buah yg masak. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya merasa buah tersebut. Kebanyakan orang mengatakan anggur tersebut masam. Pada saya ianya agak manis (berwarna ungu),berkulit tebal dan berbiji besar. Satu kemajuan dalam pertanian di Malaysia pada saya.

Anggur Isabella
Dan yang terakhir ialah mengenai kewujudan ikan patin yang istimewa. Pastinya hidangan masak tempoyak citarasa tempatan menjadi ingatan. Hanya di Temerloh..jika berminat mengetahui lebih lanjut boleh lawati blog ini.

Patin sungai Pahang..special from Temerloh

Monday 10 December 2012

Pameran orkid dan jualan pokok

Salam...

Lama benar rasanya tak update blog ni. Maklumlah sejak beberapa minggu kebelakangan ni asyik sibuk saja. Dan post kali ini mengenai pameran orkid dan jualan orkid yang berlangsung di Taman Tasik Taiping. Cuti hujung minggu kali ini dimanfaatkan dengan melihat kecantikan orkid yang dipamerkan. Secara umumnya penjual yang menyertai pameran ini baru sahaja selesai dari MAHA 2012.




Aktiviti ini dimulakan dengan pameran orkid. Pelbagai jenis orkid (species dan hybrid) dipamerkan termasuk Phalaenopsis, Cymbidium, Papheopedilum, Dendrobium, Bulbophyllum dan banyak lagi. Melihat kepada pameran orkid ini, mata amat tertarik pada orkid kegemaran seperti Phalaenopsis dan Papheopedilum (orkid selipar).








Sejujurnya saya adalah peminat orkid liar (species). Dahulu terdapat lebih seratus jenis saya kumpulkan, namun sejak melanjutkan pelajaran jumlahnya semakin berkurangan disebabkan kekangan waktu. Baki yang tinggal masih banyak tetapi species yang amat susah didapati dan alhamdulillah setelah 4 tahun mendapat "rumah baru", akhirnya hampir kesemua kembali berbunga.








Berbalik kepada pameran yang baru sahaja tamat, saya juga tertarik dengan jualan pokok herba dan buah buahan. Pada hari pertama jualan saya berjaya dapatkan pokok limau kasturi yang daunnya berbelang (variegated) hijau, kuning dan putih. Kalau diikutkan ia hanya sekadar pohon limau kasturi tetapi yang menariknya ialah buahnya yang berwarna hijau dan kuning berbelang. (Mungkin saya lambat tahu kehadiran limau jenis ni...haha)




Pada hari terakhir jualan saya dapat membeli peppermint (melengkapkan koleksi mint), pokok markisa kuning dan sejenis cili yang tidak diketahui jenisnya. Pokok dah selamat dibawa balik tetapi tiada masa untuk menanamnya. 



Pameran kali ini walaupun diadakan pada musim cuti sekolah tetapi kehadiran pengunjung amatlah sedikit. Adakah disebabkan kurangnya promosi atau ada aktiviti lain yang lebih baik. Saya sendiri mendapat tahu mengenai pameran ini melalui seorang rakan yang menjual pokok orkid. Jika dilihat disekitar Taiping, hanya beberapa keping banner sahaja yang dipasang untuk memberitahu kewujudan pameran ini.



Diharap pameran akan datang lebih banyak promosi dilakukan termasuk juga penambahan gerai jualan dan pameran agar menjadi lebih menarik. 

Thursday 25 October 2012

Aidiladha menjelma...peluang menyemai benih baru

Salam aidiladha buat pembaca yang beragama Islam...

Hajat dihati nak post 2-3 hari lepas,tapi dok busy dgn gardening activity membuatkan baru hari ni mengupdate blog ni. Kalau ikutkan pun dah dekat sebulan tak update blog ni sebab busy dengan study. Nak balik rumah pun xdapat sampaikan tempoh membaja pokok dh lari.

Hampir 3 minggu tak dapat jalankan aktiviti berkebun dan akhirnya dapat juga. Pulang ke rumah tercinta dan membelek tanaman adalah perkara pertama saya diwaktu mid term macam ni. Tapi yang membuatkan saya lebih teruja bila benih yang diorder sampai, maka bermulalah aktiviti menyemai. Antara yang disemai ialah 3 jenis kacang yang rare di Malaysia, 2 jenis jagung popcorn, rainbow chard, chiogga beetroot, rosa bianca eggplant dan 2 jenis radish (long scarlet, white icicle).

Selain itu, saya juga ada membuat ujian cambahan untuk benih herbs yang bakal dijadikan micro salad atau microgreen. Pernah dulu saya buat ujian ni dan catatkan kadar percambahan benih tapi sayang kertas tersebut dah TERbuang. Jadi terpaksalah saya buat semula. Apa yang membuatkan badan saya di kampus, otak di rumah ialah hasil semaian 3 minggu lepas. Alhamdulillah 80% menjadi.

Pelbagai jenis terung seperti terung asam,terung susu dan banyak lagi mula tumbuh. Begitu juga keluarga brassica seperti kobis cina dan kailan yang disemai menjadi. Apa yang saya lakukan ketika menyemai benih tersebut beberapa minggu lalu ialah meletakkan pasu semaian di atas dulang berisi air dan tutup dengan akuarium. Ini mengelakkan hujan menimpa tanah dan benih dapat bercambah dengan suhu yang agak tinggi.

Kini saya mula sibuk mengalih anak pokok, membaja dan menuai pokok. Tak ketinggalan orkid yang 3-4 tahun tak berbunga mula berbunga dan herbs yang juga berbunga. Sibuk juga saya ambil gambar. Akhir kata, selamat menyambut hari raya aidiladha buat semua umat Islam.

Wassalam.