Friday, 28 September 2012

Activity update - Basil

Salam..post kali ini saya akan menunjukkan contoh pertumbuhan basil. Basil merupakan tumbuhan yang sukakan kawasan panas sekaligus merancakkan pertumbuhan pokok. Purple basil kali ini ditanam untuk menghasilkan biji benih.

anak pokok sweet basil yang berusia 2 minggu
pokok berusia 3 minggu

pada minggu seterusnya (minggu ke 4)


purple basil pada awal pertumbuhan
minggu berikutnya

minggu ke 3 gambar diambil,pokok mula berbunga



 cinnamon basil  baru dipindahkan ke dalam pasu besar
seminggu selepas dipindahkan

seminggu selepas dialih ia terus dituai


Basil / Ocimum basilicum


Salam sejahtera...hari ini saya akan berkongsi maklumat mengenai basil ataupun yang biasa dikenali dengan nama selasih.

Nama saintifik bagi herba ini ialah Ocimum basilicum, biasa dikenali dengan basil atau sweet basil. Ada juga yang memanggil pokok ini sebagai tulasi. Perkataan basil berasal dari perkataan Greek (basileus) yang bermaksud raja. Maka sehingga kini masih terdapat pengarang buku masakan yang menggelarkan basil sebagai King of Herbs.

sweet basil - Google
Jika dilihat pada penggunaan di barat, ramai yang menganggap basil berasal dari negara empat musim tetapi tahukah anda bahawa basil berasal dari India. Basil biasanya mudah didapati di negara Asia termasuk Asia Tenggara dan ditanam sejak 5000 tahun yang lalu.

Jenis yang biasa digunakan ialah holy/hairy basil, sweet basil (masakan barat), thai basil (masakan thai dan melayu dan dikenali sebagai selasih), lemon basil (ulam di Indonesia, dikenali sebagai kemangi) dan variati hibrid seperti cinnamon basil dan purple basil. Nama bagi basil biasanya diberi mengikut bau, warna, rasa atau saiz daun. Sebagai contoh lettuce basil (lettuce; sejenis salad) dinamakan sebegitu kerana saiz daun yang besar dan biasanya digunakan sebagai salad.

lemon basil dan thai basil (belakang)
Basil mudah ditanam di negara tropika seperti Malaysia. Ia boleh ditanam dalam sebarang jenis tanah yang mempunyai saliran yang baik dan memerlukan cahaya sehingga 8 jam. Walaubagaimanapun, di negara kita basil seeloknya ditanam dibawah teduhan untuk melambatkan pembungaan. Basil biasanya ditanam melalui semaian biji benih yang mengambil masa 1-5 hari untuk bercambah.

Jika menanam herba, satu perkara wajib ialah menuai. Basil hendaklah selalu dituai agar pokok tumbuh merimbun. Pokok yang telah berbunga akan menghasilkan daun yang kecil dengan rasa yang sangat kuat serta berserat. Pokok perlu disiram pagi dan petang supaya lambat berbunga dan perlu dibaja dengan baja organik setiap 2 minggu.

cinnamon basil mempunyai bau seperti kulit kayu manis
Di Itali, basil digunakan sebagai sos pasta yang dikenali sebagai pesto (bahan lain termasuk minyak zaitun, keju parmesan, bawang putih, lada hitam dan pignoli nut) dan sos tomato atau pasta. Di negara Asia Tenggara biasanya dimasak bersama ayam (stir fried basil chicken di Thailand), dijadikan ulam (nasi ayam penyet di Indonesia) dan dijadikan minuman yang popular (sirap selasih).

Saya sendiri menanam 5 jenis basil iaitu sweet, thai, lemon, purple dan cinnamon. Benih biasanya diimport atau dihasilkan dengan membiarkan pokok berbunga. Daunnya dipetik sebagai perencah laksa Johor ataupun bahan sampingan sos tomato.

lettuce basil mempunyai daun yang lebih besar - Google
Lebihan basil boleh dikeringkan atau dibekukan. Caranya seperti mengeringkan herba lain dan jika mahu dibekukan basil perlu dicelur (blanch) terlebih dahulu. Ia juga boleh dijadikan flavor oil atau vinegar.

basil infused oil - Google

Monday, 10 September 2012

Acerola

Acerola ialah nama yang biasa digunakan selain barbados cherry. Selain acerola, ia juga dikenali dengan nama west indian cherry dan juga wild crepemyrtle. Nama saintifiknya ialah malphigia emarginata. Tumbuhan ini dikatakan berasal dari Amerika selatan dan Mexico.

Ia kini banyak ditanam di negara-negara tropika seperti India dan negara sub tropika seperti Jepun. Kini acerola mudah ditemui dikebanyakan negara asia.

Sedikit penerangan mengenai ciri fizikal pokok ini, ia mempunyai akar tunjang pendek yang membolehkan pokok ini tumbang ditiup angin, tumbuh pada kadar 2-3 meter tetapi kadangkala sehingga 6 meter, berdaun hijau berbentuk bujur dan mempunyai bunga berwarna merah jambu pudar dengan 5 kelopak.

Buahnya bulat berwarna hijau semasa muda dan merah atau oren apabila masak. Bijinya terdiri dari tiga bahagian dan menghasilkan rasa yang masam. Walaubagaimana pun, ia boleh menghasilkan buah yang manis jika ditanam dengan cara yang betul.

Pokok ini boleh dibiakkan dengan biji dan keratan batang. Disebabkan pokoknya yang kecil, ia dijadikan hiasan dan juga teduhan. Ada juga yang menjadikan pokok ini sebagai bonsai.

Penggunaan buah pula biasanya dijadikan jus. Ekstrak dan isinya digunakan sebagai makanan kerana mempunyai kandungan vitamin C atau asid askorbik yang sangat tinggi. Ada juga yang menjadik an acerola sebagai makanan bayi.

Secara nutrisi, buahnya sangat kaya dengan vitamin C yang bertindak sebagai anti-oxidant dan nutrien lain seperti vitamin A, B1, B2, B3, carotenoid dan bioflavonoid. Dikatakan terdapat 1677.6 mg vitamin C bagi setiap 100 gm buah ini.

Pokok acerola hidup ditanah berpasir dan menerima panas sepanjang hari. Ia  juga boleh ditanam didalam pasu. Baja yang biasa digunakan ialah baja hijau ketika pokok masih muda dan ditambah baja merah atau bunga untuk menggalakkannya berbunga seterusnya menghasilkan buah. Baja organik juga sesuai digunakan keatas pokok ini.

Saya sendiri menanam pokok ini didalam pasu disebabkan ruang yang terhad dan membentuk pokok tersebut agar menjadi bonsai. Pokok yang ditanam beberapa bulan mula berbuah tetapi tidaklah banyak pada permulaan.

Untuk gambar barbados cherry, klik sini.

Sunday, 9 September 2012

Tamat musim menanam

Masuknya hari esok iaitu semester baru kuliah, maka tamatlah sudah musim menanam untuk kali ni. Tiada lagi benih yang akan disemai kecuali special case dan sepanjang 5 bulan yang mendatang hanyalah diisikan dengan aktiviti membaja, merumput dan menuai. Itu pun kemungkinan 2 minggu sekali.
Bila masuknya cuti semester, saya secara automatik menjadi seorang grower, bukan profesional tetapi sekadar suka-suka. Hasil yang dituai kemudian dimakan seterusnya menjadi satu kepuasan bagi saya yang suka bercucuk tanam. Pokok yang ditanam bukan sekadar sayur berbuah dan berdaun tetapi termasuk pokok bunga, orkid liar, herba masakan tempatan dan yang special herba masakan barat.
Mengenai herba masakan barat, walaupun tidak digunakan hari-hari tetapi melihat tumbuhan 4 musim hidup subur disini memberikan satu kepuasan. Manakan tidak, selama ini herba-herba tersebut hanya dilihat di internet, rancangan dan buku masakan sahaja. Tetapi kini ianya ditanam sendiri. Tambahan lagi, tidak keterlaluan jika dikatakan koleksi herba saya menyaingi english herb garden di MARDI Cameron Highland...hehehe
Menjadikannya lebih menarik ialah sistem penanaman bertingkat yang direka khas untuk pokok-pokok herba ini. Dilengkapi dengan sistem pengairan yang ringkas supaya perkara lama tidak berulang. Bayangkan silver thyme yang susah dapat mati bila saya tiada di rumah. Kali ini herba seperti pineapple mint, apple mint, common mint, spearmint, peppermint, lavender, dill, ketumbar, chive, chervil dan lemon thyme mungkin dapat diuruskan dengan lebih mudah. Tiada yang terlepas atau terlebih siraman.
Sebenarnya saya ada misi untuk penanaman kali ini. Pertama ialah menanam semula dan memperbetulkan kesilapan pada penanaman yang lepas. Kali ini saya menanam pokok herba dengan teknik yang telah diuji. Kedua menguji pertumbuhan benih. Saya ada menyemai benih OP sweet basil dan cinnamon basil dan hasilnya memberangsangkan. Ketiga untuk mendapatkan benih dari pokok yang sukar didapati. Contohnya benih purple basil, chervil dan lain-lain.
Kini saya hanya perlu menunggu hasilnya dan memastikan misi saya berjaya. Apa yang perlu saya lakukan hanyalah trim dan membaja pokok-pokok tersebut setiap kali pulang. Cuma masalah yang tak dapat saya elak ialah serangan makhluk perosak seperti belalang, leaf miner, aphid, white fly dan banyak lagi. Maklumlah pokok makin banyak..Gambar-gambar berikut adalah sebahagian hasil projek garden herb saya..

Pineapple mint, common mint, spear mint & pepper mint

Chervil, Italian parsley dan chive dihujung (seperti daun bawang)
Apple mint dan lemon thyme.