Showing posts with label lemon thyme. Show all posts
Showing posts with label lemon thyme. Show all posts

Sunday, 9 September 2012

Tamat musim menanam

Masuknya hari esok iaitu semester baru kuliah, maka tamatlah sudah musim menanam untuk kali ni. Tiada lagi benih yang akan disemai kecuali special case dan sepanjang 5 bulan yang mendatang hanyalah diisikan dengan aktiviti membaja, merumput dan menuai. Itu pun kemungkinan 2 minggu sekali.
Bila masuknya cuti semester, saya secara automatik menjadi seorang grower, bukan profesional tetapi sekadar suka-suka. Hasil yang dituai kemudian dimakan seterusnya menjadi satu kepuasan bagi saya yang suka bercucuk tanam. Pokok yang ditanam bukan sekadar sayur berbuah dan berdaun tetapi termasuk pokok bunga, orkid liar, herba masakan tempatan dan yang special herba masakan barat.
Mengenai herba masakan barat, walaupun tidak digunakan hari-hari tetapi melihat tumbuhan 4 musim hidup subur disini memberikan satu kepuasan. Manakan tidak, selama ini herba-herba tersebut hanya dilihat di internet, rancangan dan buku masakan sahaja. Tetapi kini ianya ditanam sendiri. Tambahan lagi, tidak keterlaluan jika dikatakan koleksi herba saya menyaingi english herb garden di MARDI Cameron Highland...hehehe
Menjadikannya lebih menarik ialah sistem penanaman bertingkat yang direka khas untuk pokok-pokok herba ini. Dilengkapi dengan sistem pengairan yang ringkas supaya perkara lama tidak berulang. Bayangkan silver thyme yang susah dapat mati bila saya tiada di rumah. Kali ini herba seperti pineapple mint, apple mint, common mint, spearmint, peppermint, lavender, dill, ketumbar, chive, chervil dan lemon thyme mungkin dapat diuruskan dengan lebih mudah. Tiada yang terlepas atau terlebih siraman.
Sebenarnya saya ada misi untuk penanaman kali ini. Pertama ialah menanam semula dan memperbetulkan kesilapan pada penanaman yang lepas. Kali ini saya menanam pokok herba dengan teknik yang telah diuji. Kedua menguji pertumbuhan benih. Saya ada menyemai benih OP sweet basil dan cinnamon basil dan hasilnya memberangsangkan. Ketiga untuk mendapatkan benih dari pokok yang sukar didapati. Contohnya benih purple basil, chervil dan lain-lain.
Kini saya hanya perlu menunggu hasilnya dan memastikan misi saya berjaya. Apa yang perlu saya lakukan hanyalah trim dan membaja pokok-pokok tersebut setiap kali pulang. Cuma masalah yang tak dapat saya elak ialah serangan makhluk perosak seperti belalang, leaf miner, aphid, white fly dan banyak lagi. Maklumlah pokok makin banyak..Gambar-gambar berikut adalah sebahagian hasil projek garden herb saya..

Pineapple mint, common mint, spear mint & pepper mint

Chervil, Italian parsley dan chive dihujung (seperti daun bawang)
Apple mint dan lemon thyme.

Tuesday, 14 February 2012

Thyme

 



Struktur pokok thyme


Thyme ialah herba yang berasal dari Mediterranian. Herba ini merupakan pokok herba saka berdaun kecil dan tirus, berwarna hijau, mempunyai rasa dan bau seakan-akan mint. Thyme sebenarnya tergolong dari keluarga mint. Pokok ini tumbuh menegak dengan tinggi sehingga 8cm dan lebar sehingga 45cm. Bunga thyme berwarna putih atau ungu.


 Ia ditanam untuk dua fungsi utama; hiasan atau tutup bumi dan masakan atau perubatan. Dalam perubatan, rasa thyme yang kuat disebabkan kewujudan thymol (sejenis bahan anti-septik) digunakan sebagai bahan aktif dalam cecair kumur  atau pembersih mulut seperti Listerin. 

Bunga thyme dengan resolusi tinggi

 Thyme yang digunakan dalam masakan  adalah common thyme (juga dikenali sebagai english thyme, garden thyme dan french thyme) . Ada juga jenis lain seperti lemon thyme (mempunyai bau seakan-akan lemon), orange thyme, caraway thyme(rempah seperti jintan) dan sebagainya. Thyme digunakan meluas dalam masakan Mediterranian dan Perancis. Dalam masakan Perancis, thyme digunakan dalam sebagai komponen untuk bouqet garni dan herbes de provence.

Herba ini sesuai digandingkan bersama pelbagai jenis herba dan rempah. Satu keistimewaan thyme ialah tiada kesan sampingan seperti bau dan rasa jika digunakan secara berlebihan (tidak overpower). Thyme kebiasaanya digunakan dalam pembuatan stok, sup, stew, sos, omelette, croquette, perapan dan masakan bersama daging, ikan dan ayam. Ia juga sesuai dipadankan bersama tomato.
 
Daun thyme segar

 Tumbuhan ini boleh didapati sepanjang tahun. Thyme biasanya dijual dalam bentuk segar atau kering. Thyme segar dijual bersama ranting dalam bungkusan kecil dan pokok di dalam pasu kecil. Thyme kering pula dijual dalam bentuk daun sahaja. Kebiasaannya, dalam masakan hanya daun thyme sahaja yang digunakan dengan cara mencincang halus. Walaubagaimanapun, rantingnya juga digunakan dalam pembuatan sup dan stok tetapi dibuang sebelum dihidangkan.

Bunga thyme juga digunakan sebagai bahan campuran di dalam salad dan hiasan makanan. Selain itu, di Sepanyol banyak penternak lebah yang menghasilkan madu lebah berasaskan nectar dari bunga thyme. Jenis pokok thyme yang digunakan ialah wild thyme, iaitu jenis thyme penutup bumi yang banyak terdapat di hutan. Lebihan thyme boleh dikeringkan, dibekukan atau dibuat minyak berperisa untuk masakan.

Thyme boleh ditanam di Malaysia dan hidup subur dalam keadaan cuaca yang panas. Kebiasaanya thyme ditanam menggunakan biji benih, keratan batang, anak pokok atau pembahagian akar. Biji benih thyme sangat halus dan akan bercambah dalam tempoh dua hari. Tumbuhan ini mahukan sinaran matahari dan juga tanah yang mempunyai saliran yang baik. 

Sejarah ringkas mengenai thyme, ia digunakan sejak zaman purba Greek dan Rom lagi. Mereka menggunakan thyme sebagai pewangi mandian, wangian rumah ibadat, perasa tambahan dalam keju dan minuman beralkohol.

Daun thyme segar yang direndam dalam air panas dan dijadikan teh mampu mengubati batuk dan masalah bronkhitis. Ia juga digunakan untuk masalah pernafasan dan didapati dalam bentuk cecair.
Thyme juga digunakan sebagai bahan untuk mencairkan kahak.